Sunday, March 30, 2014

SESI DIALOG BERSAMA ABANG-ABANG POLIS DARI IPD GOMBAK


Untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan pihak berkuasa, dengan kerjasama pihak syarikat pengawal keselamatan, pihak jmb dan ejen pengurusan mengadakan sesi dialog bersama pihak polis dari IPD Selayang. Antara isu yang di bentangkan adalah isu warga asing yang tinggal di Simfoni Heights.




Penerangan dari pegawai operasi di IPD Gombak
berpangkat Sarjan Mejar


Untuk langkah seterusnya, kami dalam perancangan untuk mengadakan sesi dialog bersama pegawai dari jabatan bomba. Namun sebelum itu, kami harus memastikan segala kelengkapan termasuk sistem pencegahan kebakaran berada dalam keadaan baik. Kami juga akan membincangkan beberapa perkara berbangkit sebelum memasang sistem ekses peringkat ke-2.

Friday, March 21, 2014

DARI MEJA DAN MATA PENA JMC

PERTARUHAN BAKAL BERMULA

Kurang dari 48 jam selepas posting yang lalu di muat naik ke laman fb, pihak AGPSKL telah menerima surat tuntutan yang dialamatkan kepada JMB melalui peguam Syarikat A**D. Sekali lagi tahap profesionalisma mereka dipersoal kerana enggan bersama kami ke meja rundingan bahkan mengambil langkah drastik. Biarpun sebelum ini mereka cuba untuk dihubungi, namun tiada respon. Sehingga 12/03/2014, bekas kakitangan syarikat berkenaan membuat aduan kepada kami gaji mereka selama 2 bulan masih belum di bayar. Tuan pengerusi manasihati agar kes itu dirujuk pada Pejabat Buruh. 

Kami dengan bantuan dari pihak AGPSKL telah bersedia untuk membidas kenyataan tuntutan peguam A**D dalam mempertahankan hak Badan pengurusan dan juga hak penduduk. Surat rasmi yang telah dikeluarkan bakal di tandatangani kelak. 

AGPSKL MENUNJUKKAN REAKSI POSITIF

AGPSKL telah mendapatkan buku cek baru untuk di gunakan apabila baki helaian cek terdahulu masih berada di genggaman A**D. JMB sebelumnya sudah memberi kata putus kepada AGPSKL supaya mengeluarkan cek sebagai bayaran untuk sebahagian dari fi perkhidmatan yang tertangguh supaya tunggakan gaji dapat di lunaskan. Manakala fi profesional mereka masih di tahan atas sebab-sebab kesulitan yang telah berlaku.

Dalam kesibukkan menyelesaikan kemelut yang melanda bagi pihak JMB, AGPSKL tidak melupakan segala aduan dan rungutan penduduk sekaligus ianya bakal di selesaikan secara berperingkat. JMB pada 14/03/2014 menerima satu emel dari pihak atasan AGPSKL telah membuka mata lantas memberikan keyakinan pada kami bahawa mereka ini sememangnya satu grup yang berlandaskan sikap profesional dalam bidang pengurusan bangunan. 

Kami menaruhkan harapan yang tinggi pada AGPSKL. Kami juga mengharapkan kerjasama penduduk dalam merialisasikan impian menjadikan Simfoni Heights sebagai sebuah kediaman yang punya nilai komersial dan sempurna.

....dari residen kepada residen
JMB 2013/2014

29 MAC 2014

Sokongan anda diperlukan. Bersama kita menghargai alam



ISU TAKUNGAN AIR DI TINGKAT 6 BLOK E

Masalah ini seakan-akan tiada kesudahan. Walaupun sudah beberapa kali di bersihkan, namun keadaan masih berulang lebih-lebih lagi apabila hujan turun. Aduan demi aduan di laporkan pada pihak pengurusan. Setakat ini, kawasan itu hanya boleh di bersihkan. Pihak JMB juga telah membawa perkara ini ke pihak berwajib tetapi masih belum menemui jalan penyelesaian.

keadaan di tingkat 6

Pihak pengurusan bangunan juga adakalanya berasa amat kecewa dengan sikap penduduk yang tidak ambil peduli tentang soal kebersihan. Puntung rokok, pembalut gula-gula, bungkusan makanan ringan adalah sebahagian sampah-sarap yang di jumpai setiap kali proses pembersihan di lakukan.

Kerja-kerja pembersihan di jalankan. Lihat betapa banyaknya
puntung rokok yang di buang dari atas
.

Kami amat berharap agar penduduk dapat mendisplinkan diri soal kebersihan ini. Ini adalah berkaitan sikap kita sebagai penduduk. Siapa lagi yang boleh menjaga persekitaran tempat kita tinggal selain kita sendiri? 

Selain dari sampah- sarap yang terdapat di kawasan berkenaan, kami juga dapati terdapat air buih yang mengalir deras pada waktu-waktu tertentu yang menyebabkan keadaan bertambah buruk.

Buih sabun yang bertakung

Kami sudahpun menghantar emel kepada pihak ejen pengurusan untuk tindakan lanjut. Kami juga adalah penduduk yang tidak mahu keadaan yang mencacatkan penglihatan ini berterusan. Seperti anda, kami juga mahukan yang terbaik untuk Simfoni Heights.

Wednesday, March 19, 2014

DARI MEJA DAN MATA PENA JMC

JMB DALAM USAHA MENGHADAPI TEKANAN

Usah disalah tafsir tentang tajuk di atas. Mohon semua menghabiskan pembacaan sebelum meletakkan sebarang komen (jika ada). Namun bagi kami, tidak perlulah di komen dengan soalan-soalan bagaimana untuk menyelesaikan situasi ini kerana kami sedang berusaha di peringkat dalaman untuk memulihkan keadaan. Anggap ini hanya sebagai satu informasi untuk pengetahuan semua.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Akhir-akhir ini, laman FB ini di hujani dengan posting-posting yang rata-ratanya adalah rungutan dan aduan. Kami mengucapkan ribuan terima kasih di atas rungutan dan aduan yang di berikan. Sila maklum bahawa selain dari penggunaan emel, apa sahaja yang tuan-tuan dan puan-puan kemukakan di laman FB ini tidak di pandang sepi walaupun ianya tidak mendapat respon pihak berwajib. Kami dengan penuh rasa tanggungjawab dan semampu yang boleh telah menggunakan apa jua jenis platform komunikasi yang ada untuk memastikan aduan dan rungutan tuan-tuan dan puan-puan dilaman ini sampai ke pihak ejen pengurusan untuk di ambil tindakan lanjut. Cuma di pihak ejen, ianya belum boleh diambil tindakan yang wajar atas sebab-sebab ada perkara yang teramat penting yang perlu di ambil perhatian khusus dan harus di selesaikan dengan kadar segera.

SYARIKAT A**D SEBAGAI EJEN DAN ISU KONFLIK DALAMAN

Segelintir dari tuan-tuan dan puan-puan tentu sedia maklum akan kisah konflik yang telah berlaku. Kakitangan A**D bukan sahaja telah memanipulasi kewangan JMB, malah ada beberapa perkara yang menampakkan kelemahan di dalam operasi harian mereka. Di antaranya adalah gagal memperbaharui insurans bangunan pada masa yang telah di tetapkan, gagal menuntut semula bayaran cukai tanah dari penduduk dan sebagainya. Kami telah menghantar surat tunjuk sebab kepada pihak atasan Syarikat A**D berhubung kes memanipulasi kewangan tersebut. Kami juga telah bertindak 'menahan' fi profesional mereka untuk 2 bulan berturut-turut berjumlah RM1x,xxx sehingga mereka menyelesaikan tugas yang tertangguh. 

Malangnya, mereka telah menghantar notis untuk berhenti dari berkhidmat sebagai ejen pengurusan dengan alasan-alasan yang tidak munasabah sebagai respon kepada surat tunjuk sebab tersebut. Sehingga hari ini, rekod dan dokumen-dokumen berkaitan kewangan JMB masih ditawan sebagai tebusan menyebabkan sebahagian dari operasi kewangan JMB lumpuh. Kami di tuntut supaya membayar penuh caj untuk perkhidmatan selama 2 bulan berjumlah RM4x,xxx sebagai syarat untuk melepaskan dokumen-dokumen tersebut. Usaha rundingan telah menemui jalan buntu. Ibarat sudah jatuh di timpa tangga, kesabaran kami sekali lagi telah di uji. Kami mendapat khabar bahawa sebahagian dari rekod kewangan JMB yang berada dalam sistem perakaunan telah dipadam dengan tujuan sabotaj. 

ALLIED GROUP PROPERTY SERVICES (KL) SDN BHD (AGPSKL) SEBAGAI PENGGANTI

Kerana telah diamanahkan untuk memikul tanggungjawab dan menyedari hakikat bahawa dengan ketiadaan ejen pengurusan bisa membawa kesulitan, kami telah menjalankan tanggungjawabnya dalam usaha mencari, menilai seterusnya melantik ejen pengurusan baru. Proses ini mengambil masa kira-kira 48 jam berturut hari dan sebahagian dari kami telah mengorbankan masa hujung minggu kami semata-mata untuk memastikan pejabat pengurusan Simfoni Heights terus beroperasi.

Pemilihan ejen sebagai pengganti ini bukanlah dianggap sebagai 'melepaskan betuk ditangga' kerana walaupun kami mempunyai masa yang sangat singkat, namun kami mampu menilai yang terbaik dari yang terbaik. Melihatkan tahap profesional dan kredibiliti yang di tonjolkan, kami yakin AGPSKL mampu menangkis dan membetulkan semula keadaan yang keruh ketika ini. Pun begitu, mereka diberi tempoh percubaan selama 6 bulan untuk membuktikan kemampuan. Sekiranya gagal, kami sudah mempunyai calon kedua yang dilihat mampu untuk berdaya saing.

KEMASUKKAN AGPSKL SEBAGAI EJEN PENGURUSAN

Sebagai ejen pengurusan yang baru di lantik, sudah tentunya banyak perkara yang perlu di teliti. Seperti mana kenyataan di atas, ada beberapa perkara yang perlu di selesaikan terlebih dulu sebelum mereka mengorak langkah untuk pergi lebih jauh. Bukan bermaksud aduan dan rungutan tuan-tuan dan puan- puan tidak di ambil peduli tetapi mereka kini dilihat sedang 'membersihkan kotoran' yang telah di tinggalkan sekaligus menyelesaikan perkara yang dianggap lebih penting. 

Usia mereka di Simfoni Heights baru menjangkau 2 minggu. Pohon sedikit kesabaran tuan-tuan dan puan-puan untuk melihat hasil dari kerja mereka. Jangan terlalu emosi. Beri mereka ruang dan masa untuk mereka membuktikan hasilnya. Keajaiban takkan berlaku dalam sekelip mata. Mereka tidak wajar di persalahkan atas sebab kesilapan orang lain.

...dari residen kepada residen
JMC 2013/2014

Tuesday, March 18, 2014

SESI TEMURAMAH SYARIKAT PEMASANGAN SISTEM EKSES DAN CCTV

Ini adalah syarikat pembekal ke tiga yang di temuramah oleh ahli JMB untuk melengkapkan kuota pemilihan. Sesi ini telah berlangsung pada Sabtu, 15 Mac 2014 pada jam 9:00 pagi. Sebelum ini, pada 8 mac 2014 yang lalu, sesi yang sama bersama dua syarikat pembekal lain telah dilangsungkan.

Ahli JMB sedang tekun mendengar penjelasan wakil syarikat 



Mendengar dan menjawab beberapa soalan dari Tuan Pengerusi

Cadangan untuk memasang sistem ekses untuk tujuan penambah baikkan sistem keselamatan bagi Simfoni Heights hampir ke peringkat terakhir. Kami kini di proses pemilihan salah satu dari tiga syarikat yang terlibat. Sudah tentu, kos menjadi keutamaan buat kami!

Monday, March 17, 2014

APAKAH BADAN PENGURUSAN BERSAMA SERTA TUJUAN PENUBUHANNYA


1.      Apakah itu JMB?

Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Body (JMB) ialah satu jawatankuasa yang dianggotai dan ditadbir oleh Pemilik Petak/Penduduk dalam mengurus dan menyenggara bangunan.

2.      Kenapa perlunya JMB?

Penubuhan JMB adalah perlu selaras dengan Akta 663 yang mewajibkan Pemaju untuk menubuhkannya sehingga hakmilik strata dikeluarkan dan Badan Pengurusan ditubuhkan.

3.      Siapakah Ahli-Ahli JMB dan berapakah bilangan ahli-ahlinya?

Ahli-Ahli JMB atau dikenali sebagai Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) adalah terdiri dari Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan Ahli Jawatankuasa yang mestilah tidak kurang dari 5 orang dan tidak lebih dari 12 orang.

4.      Bagaimana Ahli JMC dipilih?

Perlantikan ahli JMC diadakan pada Mesyuarat Badan secara undian tangan. Urusan mesyuarat tersebut akan dikendalikan oleh ejen pengurusan bangunan dengan memberi notis bertulis 14 hari kepada Pemilik Petak / Penduduk dari tarikh mesyuarat yang dijangka akan diadakan.

5.      Apakah Tanggungjawab dan kuasa JMB?

Tanggungjawab dan kuasa JMB adalah:-

(a)   Mematuhi notis PBT
(b)   Menyelenggara harta bersama
(c)    Mendaftarkan JMB
(d)   Menentukan dan mengenakan caj penyelenggaraan
(e)   Memastikan Kumpulan Wang Penyelenggaraan di audit
(f)     Mentadbir Kumpulan Wang Penyelenggaraan Bangunan
(g)   Menguatkuasa kaedah dan peraturan dalaman (House Rule)
(h)   Mengadakan mesyuarat Agung dan mesyuarat luar biasa
(i)     Menginsuranskan bangunan
(j)     Menyediakan daftar pembeli


6.      Siapakah yang berurusan dengan JMC?

JMC berurusan terus dengan pihak Pesuruhjaya Bangunan (COB), sebagai badan pemantau perjalanan pengurusan yang dijalankan oleh pihak JMB. JMC juga berurusan terus dengan pihak ejen pengurusan bangunan yang bertanggungjawab membantu JMB dalam menguruskan harta bersama.


7.      Apakah peruntukkan yang perlu dipatuhi oleh JMB?

Semua peruntukan kuasa yang diberikan kepada pihak JMB sama ada exco atau kaunsel termaktub di dalam Akta 663 dan keputusan mesyuarat kaunsil.


TUJUAN PENUBUHAN

  • Menubuhkan jawatankuasa dan jawatankuasa kecil untuk melihat ke dalam pelbagai aspek penyelenggaraan bangunan dan operasi.
  • Menilai dan memastikan ejen pengurusan berkebolehan dalam menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan dan operasi.
  • Memastikan semua kemudahan bangunan iaitu lif, genset, sistem penggera kebakaran, kolam renang dan lain-lain di selenggara dengan baik.
  • Memastikan dana yang mencukupi untuk perbelanjaan tetap bangunan.
  • Membangun, menyelaras dan menambah baik pelbagai proses operasi bangunan; S.O.P Pengawal Keselamatan, Audit Kewangan, proses kerja JMB dan lain-lain.

PENGENALAN - SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG SIMFONI HEIGHTS JMB

Salam sejahtera warga Simfoni Heights!

Selain dari laman Facebook yang di cipta khas untuk penduduk kira-kira 2 tahun lalu, barisan ahli komiti untuk tahun kedua kini melangkah lebih jauh dengan mewujudkan satu lagi platform dan saluran komunikasi untuk dikongsi oleh semua penduduk. Selaras dengan tagline "Dari residen kepada residen", kami berazam untuk menjadikan Simfoni Heights ini satu kediaman yang punya nilai komersial, harmoni dan sempurna.

Semoga dengan usaha menghasilkan blog ini, informasi dapat di salurkan dengan lebih teratur dan terkini. Kami berharap usaha ini mendapat sokongan, keyakinan dan pengiktirafan dari penduduk bahawa kami serius dan komited dalam melaksanakan tugas yang di pertanggungjawabkan.

-JMB/JMC Simfoni Heights-
2013-2014

x