Apakah yang di katakan hak milik strata? Kami kongsikan sedikit pengetahuan sebagai asas untuk tatapan semua. Selalmat membaca!
Apa itu Hakmilik Strata?
Hakmilik yang dikeluarkan untuk setiap unit (petak) bagi sesebuah bangunan berbilang tingkat atau petak tanah yang unit-unitnya telah dijual. Unit-unit ini adalah dikenali sebagai petak-petak. Contohnya, Rumah Pangsa, Pangsapuri, Kondominium, Penthouse, Townhouse, Kompleks Komersial dan Rumah Kedai.
Mengapa Perlu Hakmilik Strata?
Hakmilik Strata perlu;
- Untuk menjaga kepentingan kuasa pemilik petak (pembeli) untuk urusan urusniaga (pindahmilik, gadaian, pajakan dll);
- Menjadi rekod /bukti yang sah bagi menunjukkan petak tersebut adalah kepunyaan pemilik petak (pembeli);
- Memudahkan urusan jual-beli, pinjaman bank, urusan kematian/pembahagian pesaka.
Apakah itu Harta Bersama?
Harta Bersama adalah merujuk kepada mana-mana bahagian lot yang tidak terkandung dalam mana-mana petak/petak tanah. Contohnya, tempat letak kereta pelawat, lif, tangga, tangki paip utama, pondok pengawal keselamatan.
Apa Hak Pemilik Sebagai Pemilik Petak?
Hak-hak pemilik petak termasuk:-
- Mempunyai kuasa-kuasa sebagai seorang pemilik membuat urusniaga seperti pindahmilik, memajak, menggadai, memecah dan menyatukan petak-petak yang dimilikinya.
- Hak mengundi di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan di mesyuarat agung luar biasa, dengan syarat semua caruman kepada kumpulan wang pengurusan perbadanan telah dibayar.
- Hak ke atas harta bersama mengikut unit syer yang diperuntukkan.
- Hak kepada sokongan, perkhidmatan seperti bekalan air, pembentungan, system perparitan, bekalan elektrik, pungutan sampah dan perkhidmatan lain.
- Hak untuk meneliti rekod dan akaun perbadanan pengurusan.
Apakah Tanggungjawab Utama Pemilik Petak?
Tanggungjawab utama pemilik petak termasuk:-
- Membayar amaun caruman Kumpulan Wang Pengurusan.
- Mematuhi undang-undang kecil yang sedang berkuatkuasa.
- Menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan dan mesyuarat agung luar biasa.
- Mematuhi apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa awam/tempatan berhubung dengan petak yang dimilikinya.
Siapakah Yang Perlu Memohon?
Pemilik mana-mana tanah bermilik di mana di atas tanahnya terdapat apa-apa bangunan yang telah siap dibina yang boleh dipecah bahagi.
Bilakah Pemilik Asal wajib mengemukakan permohonan pecah bahagi bangunan?
Pemilik Asal wajib mengemukakan permohonan pecah bahagi bangunan dalam tempoh enam (6) bulan dari tarikh perjanjian jual-beli atau tarikh pengeluaran perakuan siap dan pematuhan (CCC), mana yang terkemudian.
Bilakah Tempoh Masa Pemilik Asal Menyempurnakan Pindahmilik Hakmilik Strata?
Pemilik Asal hendaklah menyempurnakan pemindahan hakmilik stara dalam tempoh masa dua belas (12) bulan dari tarikh pengeluaran hakmilik strata oleh Pentadbir Tanah Sekiranya pembeli gagal mematuhinya, boleh disabitkan kesalahan, didenda tidak kurang daripada satu ribu ringgit (RM1,000) dan tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit (RM10,000) bagi setiap petak.
Bilakah Tempoh Masa Pemilik Petak (Pembeli) Menyempurnakan Pindahmilik Hakmilik Strata?
Pemilik Petak (Pembeli) hendaklah menyempurnakan pemindahan hakmilik stara dalam tempoh masa dua belas (12) bulan dari tarikh notis pemindahan hakmilik strata yang dikeluarkan oleh pemilik asal atau dari tarikh pembelian petak, mengikut mana-mana yang berkenaan. Sekiranya pemilik asal gagal mematuhinya, boleh disabitkan kesalahan, didenda tidak kurang daripada satu ribu ringgit (RM1,000) dan tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit (RM10,000) bagi setiap petak.
Apakah itu Perbadanan Pengurusan?
Perbadanan Pengurusan bertaraf sebagai sebuah perbadanan atau “body corporate” iaitu ianya boleh mendakwa dan juga boleh didakwa. Perbadanan Pengurusan wujud di bawah Akta Hakmilik Strata dan tidak perlu didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat atau Pendaftar Pertubuhan.Perbadanan Pengurusan mempunyai meterai atau “common seal” dan juga mempunyai hak turun temurun.
Apakah hak-hak Unit Syer?
Unit syer bagi sesuatu petak akan menentukan:-
- Hak mengundi bagi pemilik-pemilik;
- Kuantumnya syer yang belum dipecah bahagi bagi setiap pemilik dalam harta bersama; dan
- Kadarnya yang kena dibayar oleh setiap pemilik akan sumbangan yang dilevikan oleh perbadanan pengurusan.
Jika pemilik petak (pembeli) tidak berjaya memiliki hakmilik strata disebabkan pemilik Tanah asal/pemaju tidak berusaha untuk mendapatkannya atau pemilik Tanah asal/pemaju tersebut didapati telah digulungkan (winding up). Kepada siapakah pihak pemilik (pembeli) boleh mengemukakan aduan tersebut bagi menyelesaikan masalah tersebut?
Pihak pemilik (pembeli) boleh mengemukakan aduan kepada Unit Penguatkuasaan Strata, PTG Selangor bagi pemilik Tanah asal/pemaju yang enggan mengemukakan permohonan pecah bahagi bangunan.
Apakah tindakan yang boleh diambil terhadap pemilik Tanah asal/pemaju yang gagal mendapatkan hakmilik strata untuk pemilik (pembeli)?
Pemilik Tanah asal/pemaju boleh disabitkan kesalahan didenda tidak kurang daripada sepuluh ribu ringgit (RM10,000) tetapi tidak lebih daripada satu ratus ribu ringgit (RM100,000) dan didenda selanjutnya tidak kurang daripada satu ratus ringgit (RM100) tetapi tidak lebih daripada satu ribu ringgit (RM1,000) bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan.
Sumber: Pejabat Tanah Dan Galian Selangor
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.